Dilahirkan sebagai pemegang watak bagi pementasan
kehidupan . Kehidupan sendiri mahupun
masyarakat sekeliling. Bagi aku, sudah tentulah aku ialah watak utama.
Tapi menurut perspektif orang lain, aku adalah watak sampingan yang hanya
melengkapkan drama kehidupan mereka. Begitu juga penilaian aku kepada orang
lain.
Watak yang ku pegang bukan sebarangan. Kadangnya
garang. Kadang peramah tapi dianggap
miang. Pedihnya bukan kepalang, tembus ke tulang. Tapi aku tetap tenang, kerana
aku belum cukup malang. Ayat ini yang sentiasa aku pegang. Ya. Aku akan
sentiasa tenang.
Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita.
Pertembungan antara nafsu dan keimanan. Kadangkala nafsu membawa sejuta rasa bahagia, tetapi sementara. Kalah
dengan hasutan syaitan membuat aku kadangkala terleka. Megah dengan watak yang
dibawa. Ada masanya aku menghina. Tapi satu yang aku tidak jelas aku ini lebih
hina sebenarnya. Ada masa aku berdendam. Kuatnya seakan api yang tak akan
pernah padam. Kelemahan aku yang terlalu
mengikut kitaran kehidupan. Kitaran hidup golongan kebanyakkan yang sentiasa
menanam kebencian dalam diri. Tapi itu aku yang dulu. Aku ulangi: aku yang
dulu.
Ada masanya aku keliru dengan watak yang dibawa. Antagonis dan protagonis
yang aku sahaja tahu tetapi seakan samar-samar dalam setiap plot cerita yang
berbeza. Aku seperti diisolasi oleh masyarakat sekeliling atas kesalahan aku
menginokulasi homo sapiens yang lain. Jangan risau, itu cuma hiperbola.
Bukannya aku diinkarserasi secara betul.
Watak yang paling mantap aku boleh pegang ialah
watak penakut. Watak yang aku hadam sejak azali lagi. Bukan sembarangan takut
kerana takut itu mempunyai skop yang luas. Aku takut aku hampakan harapan orang
yang tersayang. Merekayang bertungkus lumus, bergadai harta benda memberi aku
pelajaran dan kehidupan yang serba lengkap bagi manusia macam aku. Terima kasih
keluarga. Pernah sekali, langkahku seakan terhenti dari landasan perjuangan
yang aku sendiri pilih.Buah fikiran aku terhenti kaku di persimpangan. Aku
rebah dan hampir mengalah. Tapi kerana perasaan takut yang bercampur kasihan ,
aku gagahkan jua diri ini. Bayangan wajah ibu bapa dan adik-beradik yang
sentiasa menjadi catalyst untuk aku terus realisasikan apa yang aku idamkan.
Tapi yang sentiasa
menjadi perkara yang paling aku takuti ialah jika ditakdirkan aku bangun dari
perbaringan dengan jasad dan roh yang sudah bercerai tetapi dalam keadaan yang
aku sendiri belum bersedia. Aku tak dapat bayangkan betapa hinanya aku pergi
menghadap pencipta yang Maha Esa jika sedemikian rupa sedangkan aku ini insan
hina berasal daripada tanah yang diciptakan-Nya. Benar, dunia ini hanya
pinjaman sementara dan akhirnya kembali jua kita kepada-Nya. Tapi kadangkala
diri ini sentiasa leka. Sering melakukan perkara lalai, lagha dan sia-sia.
Syaitan durjana pastinya bersorak gembira saat aku hanyut dalam hasutannya.
Jahat? Aku mengaku aku ini jahat. Meski aku bukan seorang perokok,penagih
dadah,pencuri ,perompak blablablabla dan sebagainya tetapi aku masih lagi
seorang pendosa tanpa noktah. Cukup aku huraikan jahat aku dengan ayat
tersebut.
Cukup sampai disini untuk entri kali ini. Sepuluh
daktil aku atur memohon kemaafan sekiranya cerita aku tergantung. Mungkin juga
sengaja kubiarkan tergantung agar kalian menilai pembawakan watak dan sifat aku
yang lainnya. Selamat menilai yaa JJJ
Assalamualaikum.
Bila nafsu mengatasi logika, buatkan kita kadangkala
terleka. Manusia mudah lupa, nikmat syurga dan derita neraka.
No comments:
Post a Comment