Tuesday, 5 May 2015

A.K.U

Dilahirkan sebagai pemegang watak bagi pementasan kehidupan . Kehidupan sendiri mahupun  masyarakat sekeliling. Bagi aku, sudah tentulah aku ialah watak utama. Tapi menurut perspektif orang lain, aku adalah watak sampingan yang hanya melengkapkan drama kehidupan mereka. Begitu juga penilaian aku kepada orang lain.

Watak yang ku pegang bukan sebarangan. Kadangnya garang. Kadang  peramah tapi dianggap miang. Pedihnya bukan kepalang, tembus ke tulang. Tapi aku tetap tenang, kerana aku belum cukup malang. Ayat ini yang sentiasa aku pegang. Ya. Aku akan sentiasa  tenang.

Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Pertembungan antara nafsu dan keimanan. Kadangkala nafsu  membawa  sejuta rasa bahagia, tetapi sementara. Kalah dengan hasutan syaitan membuat aku kadangkala terleka. Megah dengan watak yang dibawa. Ada masanya aku menghina. Tapi satu yang aku tidak jelas aku ini lebih hina sebenarnya. Ada masa aku berdendam. Kuatnya seakan api yang tak akan pernah  padam. Kelemahan aku yang terlalu mengikut kitaran kehidupan. Kitaran hidup golongan kebanyakkan yang sentiasa menanam kebencian dalam diri. Tapi itu aku yang dulu. Aku ulangi: aku yang dulu.

Ada masanya aku keliru  dengan watak yang dibawa. Antagonis dan protagonis yang aku sahaja tahu tetapi seakan samar-samar dalam setiap plot cerita yang berbeza. Aku seperti diisolasi oleh masyarakat sekeliling atas kesalahan aku menginokulasi homo sapiens yang lain. Jangan risau, itu cuma hiperbola. Bukannya aku diinkarserasi secara betul.

Watak yang paling mantap aku boleh pegang ialah watak penakut. Watak yang aku hadam sejak azali lagi. Bukan sembarangan takut kerana takut itu mempunyai skop yang luas. Aku takut aku hampakan harapan orang yang tersayang. Merekayang bertungkus lumus, bergadai harta benda memberi aku pelajaran dan kehidupan yang serba lengkap bagi manusia macam aku. Terima kasih keluarga. Pernah sekali, langkahku seakan terhenti dari landasan perjuangan yang aku sendiri pilih.Buah fikiran aku terhenti kaku di persimpangan. Aku rebah dan hampir mengalah. Tapi kerana perasaan takut yang bercampur kasihan , aku gagahkan jua diri ini. Bayangan wajah ibu bapa dan adik-beradik yang sentiasa menjadi catalyst untuk aku terus realisasikan apa yang aku idamkan.

 Tapi yang sentiasa menjadi perkara yang paling aku takuti ialah jika ditakdirkan aku bangun dari perbaringan dengan jasad dan roh yang sudah bercerai tetapi dalam keadaan yang aku sendiri belum bersedia. Aku tak dapat bayangkan betapa hinanya aku pergi menghadap pencipta yang Maha Esa jika sedemikian rupa sedangkan aku ini insan hina berasal daripada tanah yang diciptakan-Nya. Benar, dunia ini hanya pinjaman sementara dan akhirnya kembali jua kita kepada-Nya. Tapi kadangkala diri ini sentiasa leka. Sering melakukan perkara lalai, lagha dan sia-sia. Syaitan durjana pastinya bersorak gembira saat aku hanyut dalam  hasutannya.

Jahat? Aku mengaku aku ini jahat.  Meski aku bukan seorang perokok,penagih dadah,pencuri ,perompak blablablabla dan sebagainya tetapi aku masih lagi seorang pendosa tanpa noktah. Cukup aku huraikan jahat aku dengan ayat tersebut.

Cukup sampai disini untuk entri kali ini. Sepuluh daktil aku atur memohon kemaafan sekiranya cerita aku tergantung. Mungkin juga sengaja kubiarkan tergantung agar kalian menilai pembawakan watak dan sifat aku yang lainnya. Selamat menilai yaa  JJJ
Assalamualaikum.


Bila nafsu mengatasi logika, buatkan kita kadangkala terleka. Manusia mudah lupa, nikmat syurga dan derita neraka.