Saturday, 18 April 2015

K.A.W.A.N

KAWAN. Boleh aku tafsirkan sebagai: Kalian Ada Walaupun Aku Nakal. Yaa, mungkin kelihatan lucu tapi itu hakikat sebenar yang terbuku di dasar hati ini. Mereka merupakan golongan yang selalu ada di samping aku selain ahli keluarga. Mereka yang selalu faham setiap baik buruk aku, antagonis dan protagonis aku bahkan selalu cuba mengikut 'rentak' aku kerana aku memang sukar diramal sejujurnya. Betapa pentingnya mereka dalam hidup aku kerana mereka turut terlibat bagi melengkapkan 'Buku Kehidupan' aku setiap tahun. Mereka yang mewarnai setiap helaian kertas dan menjadikan kesemua '365 hari' muka surat , '12 bulan' bab dan '4 minggu' perenggan buku itu menarik. Lengkap dengan '24 jam' bait puisi dan '60 minit' penanda wacana kehidupan seharian. Fahami sendiri. Sejujurnya, rakan-rakan mempengaruhi setiap liku-liku kehidupan , bermula dari celah-celah lorong kejahilan hinggakan selautan keyakinan yang mereka hamparkan. 

                                               We find out what we're made of
When we are called to help our friends in need
You can count on me like 1,2,3I'll be there
And I Know when i need it
I can count on you like 4, 3, 2
And you'll be there
'Cause that's what friends are supposed to do, oh yeah


Aku cuba selami dan hayati maksud lirik lagu dendangan Bruno Mars ini. Cukup dalam pengertian lirik tersebut bagi manusia macam aku. Ya, aku selalu dapatkan pertolongan kawan ketika aku kesusahan dan ketika aku tiada tempat untuk mengadu. Sungguhpun aku ini bukanlah seorang yang suka bercerita tentang masalah yang dialami kepada ahli keluarga. Ini kekurangan aku sejak azali, tidak suka berkongsi masalah dengan keluarga kerana aku tidak gemar ahli keluarga risaukan keadaan seharian aku. Bodoh bukan aku ini? Hahahaha. Berbalik kepada perihal kawan. Ketika tiba pula giliran kawan memerlukan aku disaat genting, mungkin aku salah seorang yang boleh dipercayai bagi mereka. Apa gunanya kawan, kalau tidak boleh menolong kawan yang selalu berdamping dengannya ditimpa kesusahan.

Aku cuba dapatkan pandangan seorang teman mengenai perihal 'kawan'.
 ''Secara zahirnya,istilah kawan ini kelihatan mudah. Tetapi hakikatnya susah disebabkan ada juga segelintir rakan-rakan yang tidak boleh terima kelebihan dan kekurangan diri kita ini. Mungkin dalam 1000 orang kawan, cuma seorang sahaja yang boleh dianggap sahabat.'' ujar gadis yang berasal dari Johor tersebut. Aku setuju. Tidak semua perkara yang datang dalam hidup kita akan kekal. Begitu juga kawan, ada yang hanya singgah sementara dan beransur pergi seakan awan mendung selepas hujan. Dan siapa pula sahabat? Agak keterlaluan jika kalian minta aku asingkan yang mana rakan yang mana sahabat. Seakan aku diminta untuk asingkan butir-butir garam dan gula dalam masakan,yang semua sedia maklum amat diperlukan dalam masakan. Begitu juga aku, pada pandangan aku rakan atau sahabat mereka jualah yang sentiasa ceriakan hari-hari aku. Mungkin kadangkala ada perselisihan faham, itu semua lumrah dan asam garam dalam kehidupan. Mungkin ini juga salah satu proses untuk kita belajar menghargai pendapat orang sekeliling. Masalah yang sering berlaku , kita mahu memberi pendapat tapi tak rela dikritik. Ada yang masih terbelenggu dengan cara pemikiran yang sempit. Hal ini demikian memungkinkan pergaduhan. Jadi kita patut ambil kira segala pandangan pro dan kontra dalam kehidupan kita.

Mungkin ada yang berpendapat, mudah bagi remaja belasan seperti aku meluahkan kata-kata di dalam entri tetapi masih belum cukup diuji dengan ujian kehidupan. Tetapi bagi aku, kita hidup di era milineum dimana bangunan-bangunan dibina setinggi awan. Mengapa tahap rasionalisasi kita tidak tinggi seumpama itu? Aku menilai kehidupan dari sudut berbeza. Tak memadai hanya kecapi rasa selesa. Selesa itu tak berkekalan. Ingat 5 perkara, sebelum 5 perkara.

Mungkin sudah cukup aku membebel dalam entri kali ini. Sejuta kemaafan aku pohonkan dari kalian yang sudi membaca seandainya nukilan kali ini menyimpang dari pandangan kalian. 
Buatmu teman dan sahabat, selagi Izrail tidak mencabut rohku akan ku pertahankan hubungan persaudaraan kita ini hingga ke jannah. Jagalah nama, hidup ini suatu pementasan drama. Ada yang berisi ada yang kurus ,ada melencong ada yang lurus tapi berhati-hatilah kerna bukan semuanya tulus.

''Nukilan,tulisan dan bisikan isi hati. Mencari keterangan, menjiwai peranan. Menepati pesanan, janji dan juga saranan''


Semoga sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T teman,
S.K LANGGAR
SMK LANGGAR
COLLEGIANS (SULTAN ABDUL HAMID COLLEGE)
PSA


Wednesday, 1 April 2015

MINDA

Seperti biasa , mataku masih belum mahu pejam walaupun jam sudah menunjukan pukul 4.07 pagi. Oleh hal yang demikian, aku mengambil keputusan untuk mencoret sesuatu di ruangan blog ini walaupun sudah lari dari landasan niat dan nawaitu untuk mengulangkaji subjek Electrical Services pada mulanya. Masakan bisa aku teruskan pembacaanku setelah mata pun terkebil-kebil dan membulat cuba menghadam satu per satu fakta. Jadi, ku curi  sedikit masa untuk memenuhi ruang ini.

Berbalik kepada tajuk diatas, 'MINDA'. Aku cuba menyentuh tentang bagaimana minda kita memanipulasi setiap perbuatan dan tindak tanduk kita dalam kehidupan seharian terhadap masyarakat sekeliling. Terlintas di fikiran aku untuk memilih tajuk ini setelah aku terlibat sama menjayakan 'Birthday Prank' rakan sekelas aku hasil idea bersama partner in crimes yang tak perlu aku sebutkan nama. Hahahaha. Jahat jugak kami ni jika difikirkan balik bila semua berpakat tak mahu wish birthday dan sengaja mencari pasal sehingga 'gadis A' bengang dan keluar dari group 'whatsapp'. Okay, abaikan saja cerita ulangtahun kelahiran 'gadis A' tersebut yang kebetulan jatuh pada hari pertama GST dilaksanakan HAHAHAHAHAHA. 

Back to our main point, pernah tak selama ini kalian terfikir adakah minda kita suci dan bebas dari jajahan segala anasir negatif dan jahat yang ingin merosakkan kita? Adakah kita sudah mampu menilai kelemahan diri kita sendiri, dan bukannya hanya pandai menunding jari kepada masyarakat sekeliling? . Asyik menyalahkan orang lain , sememangnya minda jahat anda sudah menguasai sebahagian besar diri anda. Kita perlu adil kepada diri sendiri. Adil yang membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar. Maka mengapa tidak kita menjadi lebih adil dan rasional dalam melakukan pekerjaan? Ini semua permainan minda. Jika minda kita mahukan kebaikan, pasti anggota badan akan segera menjalankan tugas. Apa yang mahu aku tekankan disini, pastikan minda kita mengenal pasti kelemahan diri sendiri terlebih dahulu sebelum menghukum atau menyalahkan orang lain. Ya. Mungkin nada aku kelihatan tegas disini. Sungguhpun aku menulis berdasarkan pengalaman selama lebih 19 tahun aku hidup di muka bumi ini. 19, angka yang kukira sudah cukup untuk menghuraikan segala permasalahan yang biasanya dihadapi oleh para remaja sebaya denganku. Holistiknya: jadilah seperti pohon yang berbuah lebat , di baling dengan batu tetapi dibalas dengan buah.

Seterusnya, pada era globalisasi dan kemajuan pesat negara pada masa kini kulihat ramai anak muda semakin galak meniru / mencedok / mencetak budaya luar.  Minda? Minda dijajah? YA. Minda anak-anak muda masakini sudah dijajah. Jujur pada pandangan anak muda seperti aku. Berpenampilan seakan artis kegemaran dengan gaya rambut yang sudah bertukar warna,ada juga yang mencukur sebahagian kulit kepala yang sememangnya haram disisi Islam. Pakaian? Aurat? Aku tak mahu mengulas lanjut sungguhpun aku ni bukanlah ulama' , mufti atau fukahah-fukahah Islam. Dan aku masih lagi seorang remaja yang cetek akalnya yang tidak layak berbicara tentang hukum-hakam, pada dasarnya. Jadi kalian tertanya-tanya apa itu minda terjajah?

''Maksud minda dan jiwa terjajah ialah apabila umat Islam, sekalipun berpendidikan tinggi tetapi tidak mampu melepaskan diri dari belenggu cengkaman pemikiran penjajahan dan pemikiran barat. Orang yang mindanya terjajah sentiasa menganggap segala idea,pemikiran dan kejayaan yang datang daripada  luar semuanya baik, betul dan perlu diikuti sekalipun ianya bertentangan dengan syariat Islam. Sebaliknya mana-mana peraturan, idea, dan fikiran yang bersumberkan Islam dikatakan kolot, ketinggalan zaman, tidak adil dan tidak realistik.''


Orang yang mindanya dijajah tidak akan dapat melihat dengan mata hati, tidak dapat berfikir dengan akalnya sendiri. Sebaliknya,  mereka mendokong fikiran-fikiran yang dikehendaki penjajah. Semuanya menghakis jati diri, wibawa dan kehebatan mereka. Sesungguhnya in adalah antara antara hasil perancangan rapi para penjajah yang telah menyedia dan mengatur strategi menewaskan Islam.

Konklusinya, minda dan akal mengawal segala tindak tanduk kita sama ada baik mahupun buruk. Jadi perbanyakkan amalan yang boleh mensucikan minda. Persetankan, mulut-mulut puaka haters yang selalu mengherdik ,atau caci maki kita.

Sekian untuk ruangan hari ini. Segala kekurangan dan kebiadaban harap dimaafi. 
AKU BUKAN MALAIKAT YANG SELALU MELAKUKAN PERKARA BENAR.