Remaja di akhir usia belasan. Masih berbaki beberapa minggu lagi sebelum dia menginjak ke satu fasa baru dalam kehidupan. Fasa di mana lazimnya manusia sebayanya lebih fokus dalam kehidupan, khususnya demi mewujudkan masa depan yang mapan. Dan mungkin juga satu fasa dimana dia lebih menumpukan perhatian kepada cara membalas jasa keluarga terutamanya ibu bapa.
Tapi bukan bermakna sebelum ini dia tak pernah memikirkan tentang masa depan , bahkan setiap langkahan sepanjang perjalanan hidupnya menyelusuri lorong-lorong kehidupan yang berliku-liku sebelum ini semuanya kerana ingin mencapai matlamat kejayaan di dunia dan akhirat. Dan mungkin juga dia cuba buktikan langkahan yang diambilnya sememangnya tepat dengan keputusan setiap peperiksaannya. '' Man Jadda Wa Jada '' menjadi pegangannya.
Dia. Seorang insan yang sememangnya dari bangku persekolahan lagi diasuh untuk berdikari. Menguruskan kehidupan di asrama seorang diri. Dan dia sedar , ada kalanya dia akan menyendiri didalam sepi. Tapi ini bukan bermakna dia gemar menyendiri, dia cepat menyesuaikan dengan keadaan sekeliling. Seorang yang ramah dan senyumannya yang murah.
Ingin aku tegaskan disini , aku bukan menceritakan tentang diri sendiri.
Dia seorang yang suka memendam. Menanggung sendirian setiap resah dan gundah. Dan itu menjadikan dia seorang yang lebih suka berdiam diri dari memilih untuk menghamburkan segala amarah. Ya, aku cukup kenal dia. Sememangnya mudah meminta maaf dan memaafkan, juga seorang yang sangat tabah. Mempunyai sifat melindungi dalam diam, walaupun kadangkala menunjukkan lagak tidak langsung ambil kisah.
Kadangkala aku mencemburui semangat kental yang dimilikinya. Walaupun dihimpit pelbagai masalah dari segenap ruang dan peluang, dia tetap tenang. Seorang yang sentiasa tenang. Tiada sebarang buah fikiran dalam lubuk pemikiran aku yang dapat menjelaskan bagaimana si dia dapat menghadapi semua cabaran dengan tenang. Seolah-seolah seorang srikandi yang sedang berjuang di medan perang.
Dan dia juga yang sering menjadi pendengar setia. Juga yang selalu ada bila aku memerlukannya. Tak pernah lokek untuk memberi nasihat dan semangat tatkala diri ini dilanda kesedihan dan buntu di persimpangan untuk membuat keputusan. Adapun dia sering menyedarkan aku akan bezanya cahaya dan kegelapan,agar aku semakin tabah menghadapi halangan duri dan cubaan. Terima kasih membimbing aku sepanjang perjalanan,
Mengenalimu satu anugerah yang sangat tinggi nilainya. Senyumanmu satu azimat buat diriku yang hina, manusia terpinggir hidup melara. Senyummu memukau mata sentiasa. Aku mensyukuri akan hadirmu wahai si gadis berkaca mata.